Monday, May 4, 2009

Tiga lagi negara kena H1N1

Amaran Influenza Pandemik Tahap 5

KUALA LUMPUR: Tiga lagi negara - Korea Selatan, Perancis dan Costa Rica - disahkan mempunyai mangsa yang positif dengan wabak Influenza A (H1N1), menjadikan jumlah keseluruhan kes dilaporkan di seluruh dunia meningkat kepada 658 dengan 17 kematian. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dalam laporannya semalam memaklumkan, sehingga kini, 397 kes dengan 16 kematian dicatatkan di Mexico manakala 160 kes serta satu kematian dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat.
Negara yang sudah mengesahkan kes positif Influenza A (H1N1) tetapi tiada kematian ialah Kanada dengan 51 kes, Britain (15), Sepanyol (13), Jerman (enam), New Zealand (empat), Israel (tiga), Perancis (dua) serta masing-masing satu di Austria, Hong Kong, Costa Rica, Denmark, Belanda, Korea, serta Switzerland. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata WHO juga masih mengekalkan tahap amaran influenza pandemik tahap lima dan belum menyarankan sebarang sekatan perjalanan, perdagangan atau penutupan sempadan mana-mana negara. "Sehubungan itu, pelawat dari negara yang disahkan positif wabak itu akan disaring di pintu masuk antarabangsa dan diberi Kad Amaran Kesihatan serta Borang Pengisytiharan Kesihatan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.
Beliau berkata, setakat ini jumlah penumpang yang sudah disaring dan memerlukan pemeriksaan kesihatan lanjut di negara ini ialah 238 orang, tetapi semuanya didapati sihat dan tidak perlu dirujuk ke hospital. Sehubungan itu, katanya, orang awam yang mengalami simptom jangkitan terutama demam, batuk, selesema dan sakit tekak dinasihatkan menangguhkan lawatan ke luar negara, manakala yang pulang dengan gejala berkenaan diminta segera mendapatkan pemeriksaan. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata, kerajaan akan menerima bahan uji khusus dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Atlanta, Amerika Syarikat, yang hanya mengambil masa enam jam untuk mengenal pasti virus Influenza A (H1N1), tidak lama lagi. Kementerian itu sedang berusaha untuk mendapatkan bahan uji berkenaan secepat mungkin bagi membolehkan pengesahan virus H1N1 diperoleh secara terus daripada sampel tanpa memerlukan ujian lanjut yang mengambil masa panjang.
"Dengan bahan uji itu, kita hanya memerlukan enam jam untuk mengesahkan kes Influenza A (H1N1), sekali gus mengelak daripada mengeluarkan status kebarangkalian seperti sekarang," katanya selepas melawat Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di sini. Liow sudah mengarahkan supaya alat pengimbas suhu yang dipasang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di Sabah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang diaktifkan bagi memeriksa penumpang selepas Hong Kong disahkan dijangkiti wabak itu. Selain itu, katanya, kementerian juga akan berusaha meningkatkan stok vaksin kepada 10 peratus daripada jumlah penduduk, daripada 7.5 peratus atau kira-kira dua juta dos yang sedia ada bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Beliau berpuas hati kerana IMR bersiap sedia 24 jam untuk menerima sampel kes daripada mana-mana hospital dan menjalankan tugas dengan rapi serta bersungguh-sungguh untuk memastikan ujian dilakukan dengan cepat dan keputusannya boleh diketahui rakyat. Bagaimanapun, Liow meminta media massa supaya tidak terburu-buru atau sewenang-wenangnya melaporkan sesuatu kes di bawah pengawasan doktor atau hospital sebagai disyaki Influenza A (H1N1) kerana ia boleh mencetuskan suasana panik. "Justeru, kementerian menyelaraskan penggunaan hanya dua istilah khusus dengan merujuk kepada garis panduan WHO, iaitu kes disahkan dan kes kebarangkalian bagi yang disahkan Influenza A, tetapi sub jenis virusnya tidak diketahui atau gagal dikesan berdasarkan rekod. "Saya merayu kepada semua media, jangan silap lapor kerana saya sudah katakan bahawa sebarang kes berlaku di Malaysia, kementerian akan amat telus dan memastikan pengumuman kepada orang ramai dengan cepat tanpa menyorokkan apa-apa," katanya.

No comments:

Post a Comment