Monday, October 5, 2009

Kita Penentu Hala Tuju Bahasa Melayu

( Oleh ARIF ATAN, Utusan Online )

RUANGAN Bisik-bisik Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia semalam mengemukakan isu ke manakah hala tuju bahasa Melayu. Pelbagai forum, seminar dan persidangan mengenai bahasa Melayu telah diadakan bagi membincangkan untung rugi bahasa ini. Terbaharu, Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia di Johor Bahru minggu lalu. Namun, nasib bahasa Melayu yang juga bahasa kebangsaan negara ini masih begitu juga. Malah, dilihat semakin goyah.
Meskipun dipanggil bahasa Malaysia tetapi sebahagian besar rakyat negara ini masih menganggap bahasa itu milik orang Melayu sahaja. Buktinya, apabila perbualan melibatkan orang Melayu dengan bukan Melayu atau sesama orang bukan Melayu, ia kerap berlaku dalam bahasa Inggeris.Mengapa hal ini terjadi walhal bahasa Inggeris bukan milik kaum Cina atau India di negara ini?
Dalam masa yang sama, lihatlah juga kain rentang mengenai kegiatan anjuran pertubuhan atau badan bukan kerajaan termasuklah di universiti-universiti serta sesetengah parti komponen Barisan Nasional sendiri. Jarang benar sekarang kita lihat iklan atau kenyataan dalam bahasa Mandarin atau Tamil memiliki terjemahan bahasa kebangsaan di atasnya. Lihat sahaja logo parti Makkal Sakhti.
Hakikatnya, kita sendiri iaitu 27 juta rakyat Malaysia sebenarnya yang menentukan hala tuju bahasa Melayu pada masa depan. Kita harus rasa 'berdosa' jika sewenang-wenangnya mengabaikan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan kehidupan hari. Hanya dengan itulah kerisauan mengenai masa depan bahasa Melayu dapat diatasi. Selagi wujud rasa rendah diri apabila menggunakan bahasa Melayu selagi itulah pemikiran kita masih belum merdeka sepenuhnya. Hal ini kerana sikap, tindakan atau keputusan yang meminggirkan bahasa kebangsaan samalah seperti kita 'memenggal kepala' bangsa Malaysia kita sendiri.
Sebaliknya, segenap lapisan kaum negara ini perlu memiliki jiwa besar dalam mengutamakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, komunikasi, pentadbiran, penyiaran, percetakan dan dalam urusan berkaitan hubungan diplomatik. Semua pihak harus berusaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa jiwa bangsa bagi merealisasikan hasrat murni Satu Malaysia.

Thursday, August 6, 2009

Konsep 1Malaysia Pemangkin Rakyat Tingkat Prestasi

( oleh KS Nathan )

Pengurusan strategik terbaik harus penuhi objektif capai perpaduan negara, pembangunan modal insan

NEGARA meraikan ulang tahun ke-52 kemerdekaannya pada 31 Ogos ini, sambil Asean juga meraikan ulang tahunnya ke-42 pada Sabtu ini. Kedua-dua peristiwa itu mempunyai kesan mendalam terhadap keseluruhan proses pembangunan, kestabilan, kemajuan serta kemakmuran negara dan keselamatan serantau. Soal yang lebih genting ialah setakat mana dapat kita lihat pertalian antara dasar luar Malaysia dan perkembangan Asean dalam tempoh lebih empat dekad kebelakangan ini, serta impak hubungan Malaysia-Amerika terhadap keselamatan Asia secara keseluruhan. Usaha kuasa tempatan mewujudkan jati diri kebangsaan mahupun serantau bermula dengan penubuhan Persatuan Asia Tenggara atau ASA pada 1961. Pembentukan rangka kerjasama antara tiga negara pengasas iaitu Malaysia, Thailand dan Filipina adalah petanda terpenting dari sudut inisiatif tempatan bagi memupuk kerjasama serantau berlandaskan keperluan dan aspirasi tempatan. Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra memainkan peranan penting memajukan kerjasama sosiobudaya berasaskan andaian kemajuan pada peringkat ini akan disambung ke arena kerjasama politik, ekonomi dan keselamatan. Jadi, kerjasama sosial dan budaya pada tahap awal, berkembang pula keazaman politik untuk melonjak ke paras lebih tinggi dan mencabar.
Daripada menentang komunis menerusi strategi dan program 'keselamatan dan pembangunan', negara terus memerangi keganasan sehingga Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1989 secara rasmi meletakkan senjata. Dasar luar Malaysia berjaya mengukuhkan dasar pembangunan sosioekonominya ke arah perpaduan serta pembangunan ekonomi. Peranan aktif dimainkan Malaysia dalam forum Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) menghasilkan gambaran pada dekad 1980-an sebagai juara memupuk kerjasama antara Selatan-Selatan. Usaha menumpaskan komunisme melambangkan kesanggupan pemimpin pengasas Asean membina negara bangsa yang mencerminkan hasrat rakyat mendokong sistem demokrasi serta mengembangkan kerjasama serantau berteraskan keperluan tempatan. Kerjasama serantau dan Asean dengan kuasa luar mencerminkan matlamat sama yang hendak dimajukan negara Asia Tenggara. Sehubungan itu, Asean memulakan hubungan rakan dialog dengan semua kuasa luar, termasuk Amerika Syarikat (AS) sejak 1970-an. Dialog AS-Asean yang pertama diadakan pada 1977. Sejak tamatnya Perang Dunia Kedua, kuasa dan pengaruh AS ketara menonjol khasnya dari sudut keupayaan dan peranannya sebagai penjamin keselamatan di rantau Asia-Pasifik. Suatu simbol kesinambungan peranan keselamatan Amerika di Asia dapat dilihat dalam pengekalan pakatan tentera Amerika Syarikat-Jepun yang termeterai pada 1951. Asean mengambil pendirian strategik mengenai pakatan dua hala itu – kerjasama keselamatan AS-Jepun membawa manfaat kepada seluruh Asia khususnya dari segi menstabilkan keselamatan dalam keadaan tidak menentu selepas tamatnya Perang Dingin pada 1990. Di samping itu, pakatan berkenaan membebaskan negara yang baru merdeka daripada belanja berlebihan untuk pertahanan, sebaliknya membuka peluang menghulurkan tenaga kepada pembangunan. Globalisasi mendesak negara serantau menggubal dasar politik dan ekonomi domestik ke arah menyelaraskan ekonominya kepada tuntutan baru yang muncul daripada persekitaran luar. Persoalan paling mencabar adalah menyambut tuntutan dan desakan luar tanpa mengorbankan jati diri negara mahupun ciri kebangsaan yang setakat ini berjaya memantapkan sistem politik, ekonomi dan sosial. Dalam konteks ini, Malaysia sendiri berasa tercabar daripada pelbagai sudut – mempertahankan kedaulatan negara sambil membuka sektor domestik bagi pelaburan luar supaya kedua-dua pihak dapat menikmati pembangunan ekonomi serta kemantapan serantau.
Wawasan 2020 yang diilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1991 membayangkan pandangan strategik bagaimana Malaysia sebagai negara majmuk harus menangani pelbagai cabaran, dalam dan luar, dengan cetusan era globalisasi sejak 1990-an. Konsep mengukuhkan perpaduan tidak jauh bezanya daripada memperkasakan serantau. Maka konsep pengurusan strategik menjadi neraca mengimbangi segala unsur positif dan negatif yang menyusul dengan sesuatu tindakan diambil. Sesuatu strategi terbaik, bernas dan berkesan harus memenuhi objektif mencapai perpaduan negara, pembangunan modal insan dan fizikal, dan memastikan daya saing negara tanpa kompromi. Penggubalan dasar harus menepati landasan ditetapkan demi kebaikan semua rakyat Malaysia. Daripada perspektif ini, Wawasan 2020 sudah pun merangka strategi, dasar dan langkah yang kini dipaparkan sebagai gagasan '1Malaysia'. Walaupun falsafah yang membimbing kedua-dua gagasan itu sama, pelaksanaannya akan buntu jika pegangan minda yang enggan menerima realiti bahawa dasar dan strategi yang berkesan dulu masih menebal kerana ia mungkin kurang relevan kepada perubahan zaman. Begitu pun, perubahan psikologi pemimpin serta masyarakat tidak akan berlaku secara mendadak; perlukan masa, usaha dan kesanggupan melakukan perubahan. Justeru, konsep '1Malaysia' boleh ditafsirkan sebagai pemangkin menyeru rakyat berganding bahu meningkatkan prestasi negara pada peringkat domestik, serantau mahupun di persada dunia. Dasar liberalisasi sektor tertentu di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak bertujuan meyakinkan rakyat Malaysia bahawa, memandangkan kegawatan ekonomi dunia masa kini, kerajaan peka dan insaf kepada tuntutan masyarakat dan berazam menunaikan aspirasi rakyat. Namun, cabaran lebih genting kepada pemerintahan baru ialah sama ada langkah politik dan ekonomi yang diambil dapat dipertahankan untuk jangka panjang tanpa mengorbankan tujuan mencapai kesaksamaan sosioekonomi, mempertahankan kedaulatan sistem demokrasi berpolitik, ketelusan pentadbiran dan kesediaan mendengar suara rakyat. Prof Dr KS Nathan ialah Timbalan Pengarah dan Ketua, Pusat Kajian Amerika (Kamera) Institut Kajian Oksidental (Ikon) UKM

Tuesday, July 21, 2009

Ada apa pada RON?

Pernahkah anda semua tertanya apa bezanya minyak RON97 dan minyak RON92.Walaupun beza harganya hanya RM0.30.Tetapi untuk jangka masa panjang atau pengunaan petrol yang banyak, perbezaan harga ini akan menjadi lebih ketara dan boleh mengurangkan beban anda.Saya pasti kebanyakan dari kita akan mengunakan minyak RON97(RM2.00) dan tidak akan terfikirkan pun tentang RON92(RM1.70).Ramai mengatakan minyak RON92 adalah minyak lama,hanya sesuai untuk kereta lama atau hanya untuk kereta yang menggunakan karburetor.Ada pula mengatakan minyak RON92 akan mengotorkan engine anda dan ada juga yang mengatakan minyak RON92 kurang berkuasa berbanding minyak RON97.Sebelum anda semua membuat tanggapan palsu,kita lihat apa maksud sebenar RON.RON adalah RESEARCH OCTANE NUMBER dimana octane number ataupun octane rating bermaksud ketahanan minyak tersebut sebelum ianya meletup atau dinyalakan di dalam engine anda. Ini bermakna rating yang lebih tinggi iaitu 97 lebih susah untuk dinyalakan atau diletupkan manakala RON92 adalah lebih senang untuk dinyalakan.Kenapa wujudnya minyak yang mempunyai rating tinggi?Minyak yang mempunyai RON yang tinggi pada asasnya direka untuk kereta yang berprestasi tinggi seperti kereta sport dan kereta lumba.Ini adalah untuk mengelakkan letupan pra matang;bermaksud letupan sebelum nyalaan spark plug,juga dikenali sebagai KNOCKING.Knocking boleh terjadi oleh beberapa sebab iaitu compression engine yang terlalu tinggi,nyalaan spark plug terlalu awal(advance ignition)ataupun campuran angin dan minyak yag terlalu panas.Kebanyakan kereta moden dilengkapi dengan Knock Sensor dimana ia akan mengesan fenomena knocking dan secara automatic akan melambatkan nyalaan spark plug(retard ignition) untuk mengelakkan nyalaan pra matang atau knocking.Tetapi bukan semua kereta memerlukan Octane Rating yang tinggi.Kebanyakan kereta yang berada di jalan sekarang masih lagi boleh menggunakan minyak RON92. Apa yang perlu anda buat ialah rujuk buku panduan kereta anda untuk Rating Octane minimum yang boleh dipakai dan juga kereta anda perlu menggunakan minyak unleaded(tanpa plumbum) ataupun leaded(plumbum).Selain di dalam buku panduan,anda juga boleh melihat stiker Octane Rating minimum di lid penutup minyak anda.Dengan menggunakan minyak RON92 anda dapat menjimatkan duit anda dan ingat RON yang lebih tinggi tidak bermaksud ianya lebih berkuasa, tetapi ia bermaksud minyak itu lebih susah untuk dinyalakan dan setiap engine direka dengan minimum octane rating yang tersendiri.start 1 sept 09, ron92 (RM1.70/L) akan dikeluarkan drp pasaran dan digantikan dengan Ron95 (RM1.75/L).

Sunday, July 19, 2009

Transformasi IPT : Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang memperkenalkan tiga langkah khas untuk mencetuskan transformasi dan membawa pembaharuan kepada institut pengajian tinggi (IPT) negara ini. Di bawah rancangan jangka panjang yang dinamakan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Melangkaui Tahun 2020 itu, Perdana Menteri menetapkan matlamat untuk meningkatkan kualiti pelajar, keupayaan pensyarah, infrastruktur IPT dan membina rangkaian dengan institusi-institusi pendidikan tinggi ternama dunia.

Tiga langkah khas itu ialah:
· Meningkatkan tadbir urus sendiri di kalangan IPT awam yang akan dilaksanakan serta-merta;
· Melaksanakan audit prestasi akademik ke atas semua IPT awam dan swasta; dan
· Memperkenalkan status universiti apeks (apex) di kalangan universiti tempatan.
Menurut Perdana Menteri, sebagai saluran utama penjanaan modal insan, IPT di negara ini perlu diberikan perhatian khusus kerana melaluinya akan lahir generasi muda yang berpendidikan, berkemahiran, kreatif, inovatif, bersikap progresif dan berfikiran kritis. Bagi meningkatkan tadbir urus IPT, lembaga pengarah kolej dan universiti awam akan diberikan kuasa autonomi. Kerajaan berharap dengan wujudnya kuasa autonomi IPT yang dicadangkan dalam pelan strategik itu, negara berupaya bertindak lebih pantas menyahut cabaran perubahan yang berlaku dalam bidang akademik, ekonomi dan sosial. Selain itu dapat menggunakan kuasa autonomi itu untuk memperkenalkan perubahan serta pembaharuan yang akan mempertingkatkan IPTA masing-masing. Aspek kritikal seperti tadbir urus, kepimpinan akademik, pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu ditangani untuk membolehkan institusi pendidikan tinggi diberikan nafas baru dan terus berkembang maju.
Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang dilancarkan menggariskan tujuh teras strategik iaitu meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti, menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran, memperteguhkan penyelidikan dan inovasi, memperkasa IPT, mempergiat pengantarabangsaan, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan mengukuhkan sistem penyampaian Kementerian PengajianTinggi. Bagi memantapkan IPT, Perdana Menteri juga mengumumkan pelaksanaan audit prestasi akademik ke atas semua IPT awam dan swasta untuk memastikan kualiti pendidikan berada pada tahap yang memuaskan. Untuk menjamin integriti dan kesahihan audit itu, sebuah jawatankuasa penilaian bebas akan diwujudkan dengan ahli-ahlinya terdiri daripada pakar dari luar Kementerian Pengajian Tinggi. Semua pihak disarankan menerima penilaian bebas itu sebagai satu langkah konstruktif yang akan membolehkan IPT negara ini menguruskan diri ke arah mencapai tahap kualiti bertaraf dunia. Perdana Menteri turut mengumumkan rancangan kerajaan untuk mewujudkan universiti apeks iaitu gagasan universiti terunggul yang menjadi kemuncak aspirasi pengajian tinggi negara. Sebuah jawatankuasa kerja akan ditubuhkan oleh kementerian untuk merangka satu kriteria dan pelan bagi membangunkan universiti apeks dengan komitmen diberikan oleh kementerian bahawa pelan tersebut akan siap dalam tempoh 12 bulan. Sekurang-kurangnya sebuah universiti apeks di Malaysia sebelum Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tamat pada 2011.
Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Melangkaui Tahun 2020 dirancang oleh Kementerian Pengajian Tinggi selepas mendapat input daripada para pelajar, majikan, industri, parti-parti politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain laporan-laporan naib canselor serta para pegawai universiti awam dan swasta. Ia juga mengambil kira Laporan Hala Tuju Pengajian Tinggi Tan Sri Wan Zahid Nordin 2005, Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Laporan Bank Dunia mengenai pendidikan tinggi di Malaysia serta sinergi antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi.Pelan strategik itu merupakan kesinambungan daripada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran untuk pendidikan peringkat rendah.

Falsafah Negara

Falsafah politik yang berbeza mempunyai pendapat berbeza mengenai negara sebagai satu organsisasi domestik. Dalam era yang moden ini, falsafah-falsafah ini berkembang serentak dengan kapitalisme, yang secara kebetulan bertembung dengan kewujudan semula negara sebagai sektor masyarakat yang berpusat dan berasingan. Ahli falsafah seperti Thomas Hobbes, John Locke dan Jean-Jacques Rousseau mengaji isu-isu berkenaan peranan sebenar negara. Para ahli falsafah terkini seperti John Rawls dan Robert Nozick lebih berminat dengan keadilan yang dibahagikan dan moral menggunakan kuasa politik.
Terdapat empat teori mengenai asas dan justifikasi negara, iaitu:
* Kuasa alam - Dalam maksud ini, negara dianggap diberikan oleh satu kuasa yang lebih besar seperti Tuhan untuk "Hak daripada Tuhan untuk Raja" atau wujud secara semulajadi daripada keperluan untuk kuasa tingga atau stabiliti.
* Hak semulajadi - Mengikut teori ini, manusia mempunyai sesetengah hak yang "semulajadi" (implikasi penggunaan perkataan ini adalah pelbagai) dan negara wujud untuk melindungi hak-hak itu.
* Kontrak sosial - Idea ini mengatakan bahawa negara wujud kerana persetujuan rakyat, iaitu yang diperintah, untuk memberi kepada pelbagai keperluan kolektif yang tidak dapat dipenuhi oleh individu seperti pertahanan, jalan raya, pendidikan, "penjagaan am" dll.
* Konflik - Yang paling mudah antara keempat-empat teori adalah teori mengenai konflik, iaitu mengatakan bahawa negara wujud bukan disebabkan satu pilihan, tetapi sebaliknya disebabkan konflik yang ganas. Pelbagai pihak berperang antara satu sama lain untuk mengawal tanah atau sumber alam yang lain, dan pihak yang menang menguatkuasaan pemerintahan keatas pihak yang kalah.
Keempat-empat teori ini boleh membawa kesemua pendapat politik yang wujud. Dalam pengamalan pula, kebanyakan orang dan falsafah politik menerima kombinasi dua atau lebih keempat-empat teori diatas, dengan megemukakan argumentasi bahawa negara lain mempunyai pengasas lain. Teori konfik pula adalah penggunaan teori yang tidak dipersetujui dengan teori yang dipersetujui untuk membandingkan negara yang sah daripada negara yang tidak sah.
Sesetengah falsafah yang paling besar mengenai negara adalah:
kontrakarianisme, liberalisme, Marxisme, konservatisme dan anarkisme.
Kontrakarianisme berdasarkan teori kontrak sosial. Ia juga merupakan satu-satunya falsafah besar negara yang tidak termasuk mana-mana ideologi politik disebabkan pelbagai ideologi politik telah memasukkannya sebagai sebahagian daripada mereka sendiri. Kontrakarianisme adalah asas demokrasi moden dan juga pelbagai jenis sosialisme dan sesetengah jenis liberalisme. Dalam pemikiran kontrakarianisme, negara harus melakukan mengikut kehendak umum, iaitu kehendak seluruh masyarakat dan cuba mengharmonikan ia dengan kehendak individu. Negara memberikan barangan awam dan pelbagai jenis lagi barangan yang dipergunakan seharian dan mengelakkan individu daripada masalah menggunakan sesuka hati dengan memaksa mereka membayar cukai.
Liberalisme dalam maksud klasik adalah berdasarkan teori hak semulajadi. Dalam maksud ini, sesetengah ataupun semua "hak" wujud secara semulajadi dan tidak diwujudkan negara. Sebagai contoh, John Locke percaya bahawa hak milikan tanah individu wujud sebelum pembentukan sesuatu negara dan tujuan utama negara adalah untuk menjaga hak ini. Secara sejarahnya, para ahli liberal menekankan apa yang negara tidak patut melakukan daripada apa yang negara patut melakukan. Falsafah liberal mengenai negara adalah apa-apa kuasa yang dimiliki negara harus dibawah hak semulajadi yang wujud secara bebas daripada minda manusia dan lebih berkuasa daripada apa-apa kontrak sosial. Akan tetapi, terdapat pertikaian diantara ahli falsafah liberal tentang apa sebenarnya merupakan hak ini. Pengkritik pula mengatakan bahawa hak-hak ini tidak wujud langsung, kerana tidak dapat diperhatikan dalam alam semulajadi.
Pada sebelah lainnya pula, terdapat juga para ahli falsafah liberal yang menerima teori kontrak. Dalam kebanyakan kes, mereka merupakan ahli politik bersayap kiri liberalisme, dengan nama panggilan ahli liberal sosial (ahli falsafah liberal "Perjanjian Baru" (New Deal); lihat Liberalisme Amerika) dan mahukan konsep negara kebajikan, berbeza dengan para libertarianis yang mahukan negara "minima". Kenaikan dominasi koperat keatas masyarakat dalam abad ke-20 menjadi elemen baru dalam apa yang dipercayai semua tentang apa yang negara harus lakukan untuk melindungi hak awam.
Falsafah Marxisme mengenai negara adalah berdasarkan teori konflik - secara spesifiknya idea konflik klas. Dalam maksud ini, peranan utama negara dalam pengamalan adalah untuk menguatkuasakan sistem kini dimana harta dan tanah dibahagikan secara tidak saksama, dan pengawalan oleh klas tertentu termasuk pengambilan kesempatan. Negara juga menjadi agen tengah dalam pelbagai jenis konflik sosial, dan menjadi sumber keadaan infrustruktur sosial untuk masyarakat keseluruhannya. Dalam sistem feudalisme umpamanya, para bangsawan mengunakan kekuatan ketenteraannya sendiri untuk mengeksploitasi vassal mereka. Dibawah kapitalisme pula, penggunaan kuasa dipusatkan dibawah satu organsisasi khas yang melindungi monopoli klas kapitalis keatas sumber alam, dan memberikan eksploitasi keatas mereka yang tidak mempunyainya. Dalam teori Marxis moden, dominasi klas juga boleh bercanggah dengan beberapa dominasi lain seperti patriaki dan etnik.
Tambahan pula dalam teori Marxis, para klas-klas dan semua jenis pengambilan kesempatan perlu dimusnahkan dengan menubuhkan sistem sosialis dengan diikuti sistem komunis. Tujuan terakhir komunisme adalah satu masyarakat yang tidak berklas, tidak mempunyai tanah dan tidak bernegara iaitu keadaan sama rata; akan tetapi, sosialisme masih mengekalkan hak milikan tanah peribadi sebagai sesuatu yang demokratik. Maka, Marxisme menentang konsep negara berdasarkan teori konflik tetapi tidak mahu memansuhkan negara secara terus. Maka terdapat sedikit pertindanan antara Marxisme dengan kontrakarianisme: negara sosialis yang para Marxis mahukan dalam rancangan jangka pendek mereka adalah berdasarkan satu kontrak sosial. Negara ini kemudiannya haruslah berunsur-unsur "hilang" semasa demokrasi terus mengambil-alih demorasi perwakilan. Selepas prosesnya selesai, orde baru komunis telah dicapai dan negara tidak wujud secara berasingan daripada rakyatnya.
Dalam pemikiran konservatif yang berdasarkan kuasa besar semulajadi, struktur kini dimana tradisi dan hierarki klas, patriaki, dominasi etnik, etc.) dilihat sebagai membawa kebaikan kepada semua. Pendek kata, ia berasaskan idea bahawa pengamalan perkara tradisi adalah baik dan seharusnya dikekalkan. Maka, para ahli konservatif menerima sesetengah idea daripada liberalisme dan Marxisme, tetapi melihatnya dalam konteks berbeza: negara memaksa rakyat menerima klas dan pelbagai dominasi lainnya, tetapi ini dilihat sebagai perlu demi kebaikan mereka. Kepercayaan ini berdasarkan bahawa keadaan ini terbukti berjaya secara dahulu lagi. Tambahan pula, sebagaimana para liberalis, negara telah sekian lama wujud dan "semulajadi". Ramai para ahli falsafah konservatif mengeluarkan kenyataan bersetuju dengan teori hak semulajadi, terutama dalam dekad-dekad kebelakangan ini.
Dalam pemikiran anarki pula, negara adalah sesuatu yang tidak lain daripada segmen yang membawa ekploitasi keatas masyarakat. Dengan menolak sama sekali teori Hobbes yang mengatakan bahawa hanyalah negara boleh menghalang keganasan, mereka mengemukakan argumentasi bahawa sebenarnya kuasa negaralah yang menyebabkan keganasan. Inilah teori konflik tentang kewujudan negara. Mereka menganggap bahawa jika orang ramai boleh melaksanakan satu cara untuk berkerjasama secara aman dan mengeluarkan kreativiti individu, negara dan penyekatannya terhadap kebebasan individu akan dihampuskan. Masalahnya dengan ini adalah "apakah" cara yang membolehkan keadaan ini wujud. Berlainan dengan perspektif para Marxis, negara adalah sesuatu yang tidak perlu, berbanding perlu dalam revolusi konflik antara klas.
( Sumber : Wikipedia )

Saturday, June 13, 2009

Esei Laras Sastera - Fenomena Blog

Esei Laras Sastera : Fenomena Blog

SOALAN
Fenomena blog semakin mendapat perhatian sejak akhir-akhir ini di negara kita. Pelbagai jenis blog wujud di alam maya, ada blog yang cenderung kepada kebaikan dan tidak kurang pula yang membawa kepada keburukan. Bincangkan kebaikan dan keburukan kewujudan blog dalam konteks negara kita Malaysia.

JAWAPAN

Blog merupakan blog adalah website yang isinya berupa tulisan-tulisan yang merupakan pandangan peribadi dari pemilik blog. Kebiasaannya blod bersifat komentar di mana pembaca boleh memberikan tanggapan terhadap isu yang ditulis dan penulis blog akan membalas balik komentar tersebut. Kewujudan blog memang membawa banyak kebaikan dan juga keburukan kepada masyarakat di negara kita.
Kebaikan blog ialah kita dapat menyuarakan pendapat kita tentang apa sahaja isu yang berlaku. Kita boleh melahirkan idea dan bakat yang terpendam dengan menghasilkan tulisan-tulisan yang berkualiti dalam blog sendiri. Dalam hal ini, kadang-kadang apa yang kita suarakan dalam blog boleh diterima oleh para pembaca dan bermanfaat untuk mereka. Sebagai contohnya, jika kita berminat menulis rencana mengenai isu-isu semasa tetapi tiada ruang untuk kita berbuat demikian, maka kita boleh menjadikan blog sebagai medan untuk melahirkan idea kita. Tuntasnya, blog memang membantu kita dalam menyuarakan pendapat mengenai sesuatu perkara.
Selain itu, blog keusahawanan dan perniagaan di internet dapat membantu kita melahirkan lebih banyak usahawan internet yang berjaya di Malaysia. Sebagai contohnya, Irfan Khairi yang menjadi jutawan internet berkat dari kemahiran beliau menghasilkan blog berkaitan dengan perniagaan internet. Tambahan pula, dengan menggunakan blog tersebut kita boleh memberikan nasihat, bimbingan, dorongan dan panduan berguna kepada individu yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan internet. Ini secara tidak langsung dapat membantu dalam meningkatkan pendapatan negara.
Walau bagaimanapun, blog yang disalahgunakan boleh membawa pelbagai keburukan. Penularan budaya memfitnah individu tertentu menggunakan blog semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Fitnah yang tidak berasas tentang isu-isu sensitif seperti menyentuh mengenai hak keistimewaan orang Melayu di Malaysia boleh mencetuskan masalah polarisasi kaum jika dibiarkan berlarutan. Terdapat juga segelintir penulis-penulis blog yang begitu berani mengkritik dan mempersoalkan ketuanan Yang di-Pertuan Agong yang menjadi simbol kedaulatan negara ini dalam blog mereka. Perkara ini harus diberikan perhatian yang serius.
Kritikan terhadap kerajaan yang memerintah dan para pemimpin bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan di alam maya. Pelbagai tohmahan dan hasutan serta cacian dilontarkan tanpa bukti yang kukuh dan jelas. Pembaca-pembaca blog pula mudah percaya akan perkara yang mereka baca dalam blog sehingga terpengaruh. Akibatnya, kredibiliti dan kewibawaan seseorang pemimpin dan kerajaan yang memerintah selalu dipersoalkan oleh masyarakat. Fenomena ini jika dibiarkan boleh menghuru-harakan negara kita.
Konklusinya, blog harus digunakan ke arah kebaikan bukannya cenderung kepada keburukan. Sesungguhnya, banyak kemaslahatan yang dapat kita peroleh jika blog digunakan untuk menyalurkan maklumat yang berguna kepada masyarakat. Jadilah, masyarakat yang matang dan berilmu demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020 yang kita impi-impikan.
( dari blog cikgu Zul : http://forum.engkabang.net )

Tuesday, May 26, 2009

1Malaysia - Realiti Sebenar Rakyat Negara Ini

(dari web 1Malaysia )

PEKAN, 23 Mei (Bernama) -- Konsep 1Malaysia merupakan konsep yang berpaksikan bumi nyata dan realiti sebenar rakyat pelbagai kaum di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata secara realitinya masyarakat berbilang keturunan dan agama di negara ini perlu bersatu bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang kukuh.

"Kalau kita dapat menyatukan masyarakat menjadi satu rakyat dengan satu impian, kita jadikan Malaysia sebuah negara lebih kuat, gagah perkasa dan berjaya," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung/perwakilan tahunan ke-15 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PKKM) bahagian negeri Pahang di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Najib menegaskan konsep 1Malaysia tetap akan mempertahankan Perlembagaan Negara.

"Menerusi konsep 1Malaysia ini, tidak ada kumpulan besar atau kecil yang akan terpinggir dan tidak diberi perhatian oleh kerajaan, sama ada di kampung, bandar atau rumah panjang, semua dapat perhatian kerajaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib mengingatkan golongan pesara supaya sentiasa menyuburkan minda melalui aktiviti pembacaan.

Beliau berkata aktiviti membaca bukan hanya dapat menguatkan minda dan fizikal pesara malah membolehkan golongan itu membabitkan diri dalam mencurah khidmat terhadap masyarakat dan negara.

"Apabila minda diisi dengan pengisian yang segar dan sesuai, badan akan turut menjadi sihat dan cergas," katanya.

Sementara itu, Najib berkata segala tuntutan PKKM perlu dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terlebih dahulu sebelum dibincangkan oleh Kabinet.

Terdahulu, Yang Dipertua PPKM Pahang Datuk Abdul Ghani Sulaiman ketika berucap pada majlis itu mengemukakan beberapa tuntutan berkaitan pesara.

Ini termasuk memohon kerajaan mempertimbangkan untuk memberikan pencen minimum berjumlah RM720 terhadap kakitangan awam yang berkhidmat kurang daripada 25 tahun, memberikan wang ehsan setiap kali kerajaan mengumumkan bonus kepada kakitangan awam, memberikan pencen terbitan kepada suami/isteri pesara yang dikahwininya selepas bersara dan melantik seorang Senator bagi menjaga hal ehwal golongan pesara.

Sumber : Bernama

Thursday, May 21, 2009

Kontrak Sosial...fahaminya bhgn 2

KONTRAK SOSIAL MALAYSIA
( dari laman web Dr. Mahathir Mohammad, mantan Perdana Menteri Malaysia )


1. Sebelum adanya Malaya dan Malaysia, semenanjung ini dikenali sebagai Tanah Melayu.

3. Untuk terangkan berkenaan asal-usul kontrak sosial Malaysia saya terpaksa imbas semula sejarah.

4. Melalui perjanjian-perjanjian yang ditandatangani Raja-Raja Melayu Semenanjung, British telah mendapat hak untuk menakluk Negeri-negeri Melayu. Perjanjian-perjanjian ini mengakui dan mengesahkan Negeri-negeri ini sebagai Negeri-negeri Melayu. Tidak ada sesiapa pun yang membantah. Orang Asli juga menerima keadaan ini dengan penerimaan oleh mereka pemerintahan Raja-Raja Melayu.

5. Pada mulanya penduduk yang tinggal di Negeri-negeri ini dibahagi kepada orang Melayu dan Orang Asli yang merupakan rakyat Raja-raja Melayu dan tetamu asing yang tidak dianggap sebagai rakyat kepada Raja-raja Melayu. Tidak ada kewarganegaraan mahupun dokumen berkenaan taraf kerakyatan sepertimana di kebanyakan negara-negara lain.

6. Tetamu asing ini hidup mewah di Negeri-negeri Melayu di bawah pentadbiran British dan di jajahan British di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Orang Melayu yang menjadi rakyat kepada Raja-raja Melayu dan Raja-raja Melayu sendiri tidak sikitpun merasa tergugat dengan bilangan besar orang bukan Melayu dan perbezaan jurang kekayaan dan kemajuan di antara tetamu asing ini dan rakyat Raja-Raja Melayu. Mereka tidak terfikir yang orang asing yang menetap di negara ini akan menuntut hak kewarganegaraan.

7. Apabila Jepun menakluk Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat, orang Cina merasa tidak selamat kerana Jepun merupakan musuh tradisi mereka.

8. Ramai orang Cina telah menubuhkan dan menganggotai angkatan gerila dan lari ke dalam hutan. Apabila Jepun serah diri, gerila-gerila Cina ini keluar dan merampas balai-balai polis di kawasan pedalaman dan isytihar yang mereka adalah pemerintah negara ini. Mereka menangkap ramai orang, Cina dan Melayu dan beberapa daripada mereka ini dibunuh.

9. Orang Melayu di kampung-kampung membalas dengan membunuh orang Cina di kawasan luar bandar. Ketegangan timbul dan pertempuran antara Cina dan Melayu dielak hanya dengan kedatangan angkatan tentera British. Tetapi perasaan marah dan benci antara kedua-dua kaum ini tetap tinggi.

10. Di dalam keadaan tegang ini British mencadang penubuhan Malayan Union yang akan memberi "tetamu-tetamu" ini hak kerakyatan yang tidak membezakan mereka daripada orang Melayu.

11. Orang Melayu menolak Malayan Union dan cadangan hak kerakyatan ini. Mereka paksa British untuk kembali keapda keadaan asal atau status quo ante di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) yang baru.

12. Hanya orang Cina yang menjadi rakyat Negeri-negeri Selat layak untuk mendapat kerakyatan di dalam Persekutuan yang baru ini. Sudah tentu warganegara keturunan Melayu jauh lebih ramai daripada rakyat Malaya yang berketurunan Cina.

13. Pemimpin-pemimpin Cina merayu kepada British, yang kemudiannya menekan Presiden UMNO, Dato Onn Jaafar supaya mencadangkan agar UMNO dibuka kepada semua kaum. Cadangan ini ditolak lain-lain pemimpin UMNO dan Dato Onn terpaksa melepaskan jawatan.

14. British terus beri tekanan kepada orang Melayu untuk bersikap lebih terbuka berkenaan soal kerakyatan bagi orang bukan Melayu.

15. Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman memutuskan untuk menubuhkan pakatan dengan MCA (Malaysian Chinese Association) dan MIC (Malaysian Indian Congress). Dalam pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Assembly) 1955, oleh kerana kurangnya kawasan majoriti penduduk Cina dan India, MCA dan MIC terpaksa letak calon mereka di kawasan yang mempunyai majoriti Melayu selepas UMNO bersetuju untuk tidak bertanding di kawasan-kawasan ini dan sebaliknya menyokong calon Cina MCA dan calon India MIC.

16. Begitu sokongan orang Melayu terhadap calon Perikatan MCA dan MIC hinggakan mereka menang walaupun menentang calon Melayu daripada PAS. Calon MCA dan MIC kesemuanya menang. Hanya UMNO kalah satu kerusi kepada PAS.

17. Tunku sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu kemudian memutus untuk menuntut kemerdekaan. British terus berkeras menuntut hak kerakyatan bagi orang Cina dan India sebagai syarat memberi kemerdekaan.

18. Untuk mengatasi halangan British terhadap kemerdekaan dan untuk memenangi sokongan orang Cina dan India Tunku memutuskan untuk beri satu juta kerakyatan kepada kedua-dua komuniti ini berdasarkan hanya kepada permastautin. Salah seorang rakyat baru yang menonjol ialah (Tun) Leong Yew Koh, bekas general di dalam angkatan tentera nasional China yang kemudiannya dilantik Gabenor Melaka.

19. Di peringkat ini pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti yang berdasarkan kepada kaum yang telah mendirikan Kerajaan pemerintahan sendiri di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) British telah berbincang dan mencapai persetujuan berkenaan syarat perhubungan antara ketiga-tiga kaum di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

20. Ianya merupakan agihan yang sama rata. Sebagai balasan untuk satu juta kerakyatan bukan Melayu, orang bukan Melayu mesti mengakui kedudukan istimewa orang Melayu sebagai Bumiputera. Beberapa peruntukan undang-undang seperti kedudukan Islam sebagai agama rasmi, pengekalan tanah rizab Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan adat istiadat Melayu dan pengagihan jawatan dalam Kerajaan juga termasuk di dalam persefahaman ini.

21. Dalam soal Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu telah dipersetujui sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Inggeris pula sebagai bahasa ke-dua. Kaum Cina dan India boleh terus gunakan bahasa mereka tetapi bukanlah sebagai bahasa rasmi untuk berkomunikasi.

22. Sekolah rendah Cina dan Tamil juga boleh menggunakan bahasa masing-masing sebagai bahasa pengajar. Bahasa-bahasa ini juga boleh digunakan di sekolah menengah, tetapi hanya di sekolah menengah swasta.

23. Di pihak mereka pemimpin-pemimpin Cina dan India yang mewakili parti mereka menuntut agar kerakyatan dijadikan hak mereka yang tidak boleh ditarik balik, mereka dibenar kekalkan bahasa, agama dan budaya mereka dan sebagai rakyat mereka diberikan hak politik sepertimana yang diberikan kepada semua rakyat.

24. Kebanyakan persetujuan dan persefahaman ini terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Bagi setiap yang diperuntukkan kepada orang Melayu, akan sentiasa terdapat peruntukan bagi yang bukan Melayu. Tidak ramai yang sebut akan hakikat ini. Yang menarik perhatian ramai dan yang menjadi tajuk perbalahan ialah apa yang diperuntukkan kepada orang Melayu dan lain-lain kaum Bumiputera sahaja.

25. Demikian walaupun Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan, bahasa Cina dan Tamil tetap bebas digunakan di sekolah Cina dan Tamil. Peruntukan ini tidak terdapat di mana-mana negara lain. Bahkan di negara-negara yang liberal sekalipun tidak terdapat jaminan seperti ini yang termaktub di dalam Perlembagaan.

26. Bahasa Kebangsaan ini haruslah dipelajari semua orang agar setiap warganegara Malaya dapat berkomunikasi antara satu sama lain di mana-mana sahaja.

27. Difahamkan bahasa Cina yang di maksudkan di dalam persefahaman tersebut adalah dialek-dialek Cina yang ditutur di Malaysia dan bukannya bahasa kebangsaan negeri China. Demikian bagi kaum India Malaya bahasa Tamil digunakan dan bukannya Hindi atau Urdu atau apa-apa bahasa pun yang menjadi bahasa Kebangsaan di India. Tetapi para pendidik aliran Cina kemudiannya mengguna Bahasa Cina yang menjadi bahasa Kebangsaan negara China iaitu Mandarin.

28. Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain boleh dipraktik penganut masing-masing tanpa apa-apa halangan. Sebagai agama rasmi Islam mendapat bantuan Kerajaan. Tiada tersebut tentang bantuan bagi mana-mana agama lain. Bukan Melayu tidak menekankan tentang ini dan Perlembagaan Persekutuan tidak pun sebut tentang bantuan Kerajaan terhadap agama lain. Namun sokongan dan bantuan tetap diberikan.

29. Kuota ditetapkan bagi kakitangan Kerajaan (Malayan Civil Service) dimana orang Melayu akan mendapat empat tempat bagi setiap satu yang diberikan kepada orang Cina dan India. Walaubagaimanapun, jawatan profesional diiktiraf terbuka bagi semua kaum kerana dianggap tidak mungkin terdapat cukup bilangan orang Melayu untuk mengisi jawatan-jawatan tersebut.

30. Hasilnya pada awal kemerdekaan terdapat lebih ramai kaum bukan Melayu daripada Melayu yang mengisi jawatan dalam Divisyen Satu.

31. Yang Di-Pertuan Agong atau Raja-raja Melayu akan menentukan kuota biasiswa dan lesen bagi orang Melayu. Tetapi tiada sesiapa yang akan dirampas mana-mana permit atau lesen hanya untuk diberikan kepada kaum Bumiputera.

32. Kedudukan Raja-raja Melayu termaktub dan tidak boleh dipersoalkan. Seorang Yang Di-Pertuan Agong akan dipilih daripada sembilan Raja-raja Melayu dan akan berkhidmat selama lima tahun.

33. Raja-raja akan menjadi Raja berperlembagaan. Kuasa eksekutif akan dilaksanakan oleh Menteri Besar, Ketua Menteri dan Perdana Menteri yang dipilih dan dibantu ahli majlis atau Kabinet. Amalan British dijadikan contoh.

34. Persetujuan yang paling penting ialah pelaksanaan Demokrasi Berparlimen digabungkan dengan Raja Berperlembagaan, sekali lagi seperti yang diamalkan di United Kingdom. Harus diingat pihak British telah mengenakan Kerajaan Kolonial kuku besi ke atas Negeri-negeri Melayu dengan kuasa diletak pada Pejabat Kolonial di London.

35. Sebelum ini Negeri-negeri Melayu diperintah secara feudal di mana Raja-raja Melayu mempunyai kuasa mutlak. Hanya golongan bangsawan yang memain peranan dalam politik negeri. Rakyat Melayu tidak langsung ada apa-apa hak politik. Sudah tentu tetamu juga tidak mempunyai suara dalam hal-hal berkenaan politik. Warganegara British keturunan Cina dan India juga tidak mempunyai apa-apa suara walaupun mereka boleh dilantik sebagai Ahli Kehormat Majlis Kerajaan Tempatan atau Perundangan.

36. Keputusan untuk melaksana sistem Kerajaan berlandaskan demokrasi merupakan satu langkah radikal di dalam pentadbiran Kerajaan di Persekutuan Tanah Melayu dan Negeri-negeri Melayu. Ini dipersetujui pemimpin ketiga-tiga kaum terbesar yang diwakili parti-parti politik UMNO, MCA dan MIC. Tidak syak lagi yang parti-parti ini mewakili sebahagian besar daripada ketiga-tiga masyarakat di Malaya. Pihak Komunis dan yang berhaluan kiri lain tidak menyatakan persetujuan mereka terhadap persefahaman ini.

37. Suruhanjaya Reid diberi penerangan tentang perjanjian dan persefahaman ini agar ianya akan dimasukkan kedalam Perlembagaan yang akan digubal. Ketiga-tiga parti meluluskan Perlembagaan yang digubal setelah beberapa pindaan dilakukan. Kesannya Perlembagaan ini menjadi kontrak yang mengikat ketiga-tiga kaum di Persekutuan Tanah Melayu menjelang merdeka pada tahun 1957.

38. Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Negeri-negeri Semenanjung untuk membentuk Malaysia kontrak sosial ini di panjangkan kepada kedua-dua negeri ini. Orang Bumiputera Sabah dan Sarawak di beri taraf yang sama dengan orang Melayu. Pada masa ini juga perkataan Bumiputera diperkenalkan untuk membezakan orang Melayu dan orang Bumiputera Sabah, Sarawak daripada yang berketurunan pendatang. Kerana Bahasa Melayu dugunakan secara meluas di negeri-negeri Borneo tidak ada kesulitan bagi penerimaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Walaupun kaum Bumiputera di kedua-dua negeri ini bukan semuanya orang Islam ini tidak memerlukan pindaan kepada Perlembagaan apabila perkataan Bumiputera diterima. Tetapi definisi rasmi bagi orang Melayu tetap tidak berubah.

39. Oleh itu pembentukan kontrak sosial dimaktubkan dalam pertama, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia. Untuk mengatakan yang ianya tidak wujud samalah dengan menidakkan kandungan Perlembagaan yang diasaskan kepada penerimaan oleh pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum terhadap kontrak sosial yang asal.

40. Kesemua tindakan susulan oleh Kerajaan adalah hasil daripada kontrak sosial ini. Hakikatnya pencetus kontrak sosial ini dan pewaris-pewaris mereka yang diiktiraf rakyat di setiap Pilihanraya Umum menunjukkan kesediaan rakyat untuk menghormati kontrak sosial ini.

41. Menidakkan kewujudan kontrak sosial ini ialah seperti berkata yang Malaysia ini wujud di dalam suasana kekosongan, tidak ada Perlembagaan dan undang-undang yang berlandaskan kontrak ini.

42. Pelaksanaan kontrak sosial ini memerlukan pemahaman semangatnya yang mendalam. Kontrak sosial ini bertujuan mewujudkan satu negara berbilang kaum yang stabil dan harmoni. Apa jua faktor yang akan akibatkan ketidakstabilan dan menghasilkan ketegangan di antara kaum haruslah dianggap tidak sesuai dengan semangat kontrak sosial ini.

43. Selama 50 tahun tidak ada sesiapa yang menyoal kontrak sosial ini. Malahan hari ini pun majoriti kaum Cina dan India dan Bumiputera Melayu dan kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak menerima kontrak sosial ini.

Sumber: Laman Web Tun Mahathir

Kontrak Sosial...Fahaminya

Kekeliruan Mengenai Kontrak Sosial
Perdebatan mengenai kontrak sosial hangat dibincangkan di media tempatan apabila akhbar Mingguan Malaysia pada 14 Ogos 2005 menyiarkan laporan yang memetik ucapan Presiden Parti Gerakan, Datuk Seri Lim Keng Yaik yang menggesa parti-parti politik di negara ini melupakan formula kontrak sosial antara kaum kerana ia didakwa membuatkan masyarakat Cina dan India merasa ‘kecil hati'. Berikutan itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membidas kenyataan tersebut dengan mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Reaksi serupa daripada kalangan beberapa pemimpin UMNO turut disiarkan di media.

Datuk Seri Lim Keng Yaik kemudian menafikan beliau membuat kenyataan tersebut sambil mendakwa bahawa kata-kata beliau telah disalah tafsir. Bagaimanapun beliau telah memohon maaf secara terbuka dan menjelaskan bahawa beliau tidak pernah berhasrat mempersoalkan atau menukar formula kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui semasa Negara mencapai kemerdekaan. Sehubungan dengan itu juga. Kabinet pada 17 Ogos 2005 mengarahkan supaya semua perdebatan mengenai isu tersebut dihentikan.

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Kontrak Sosial?
Kontrak sosial adalah persetujuan yang dicapai sebelum merdeka di kalangan para pemimpin Melayu, Cina dan India dan parti-parti yang mereka wakili, UMNO, MCA dan MIC. Bagaimanapun, kontrak sosial harus dianggap sebagai satu persetujuan di kalangan masyarakat berbilang kaum, bukan hanya pemimpin atau kumpulan elit tertentu. Permuafakatan itu mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955. Rakyat perlu memahami fakta sejarah bahawa kontrak sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah.

Mengapa Isu Kontrak Sosial Timbul?
Isu ini timbul mungkin kerana kontrak sosial ini telah dibentangkan kepada masyarakat sebagai satu persetujuan antara elit pada masa tertentu, dalam keadaan tertentu. Ini menyebabkan generasi baru menganggapnya sebagai tidak lagi relevan. Sebahagian masyarakat bukan Melayu juga menganggapnya kontrak sosial sebagai sesuatu yang dikaitkan dengan kewarganegaraan. Ia suatu pemberian yang diberikan kepada mereka yang pada masa itu yang merupakan imigran atau keturunan imigran.Oleh sebab itu generasi bukan Melayu sekarang menganggapnya sebagai sesuatu yang sudah berlalu. Mereka juga tahu bahawa hak istimewa masyarakat bumiputera adalah sebahagian daripada kontrak sosial. Oleh kerana bukan Melayu diberikan kewarganegaraan atas syarat-syarat tertentu, masyarakat bumiputera pula diberikan perlindungan melalui fasal-fasal dalam Perlembagaan tentang hak istimewa. Kepada mereka kompromi ini terikat kepada masa tertentu, jadi mereka tidak nampak relevannya sekarang.

Adakah Kontrak Sosial Terkandung Dalam Perlembagaan?
Kontrak sosial bukan istilah yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 tetapi permuafakatan yang mewakili semangat Perlembagaan. Dengan adanya kontrak sosial ketika proses ke arah mencapai kemerdekaan, usaha telah dapat dilakukan untuk menggubal Perlembagaan. Ia merupakan muafakat antara kaum yang mewarnai Perlembagaan, persepakatan yang diterjemahkan ke dalam Perlembagaan. Walaupun istilah kontrak sosial tidak ada dalam Perlembagaan tetapi semangatnya ada pada ciri-ciri perlembagaan itu.

Apakah Perkara Penting Perlu Difahami Dalam Kontrak Sosial?
Rakyat Malaysia perlu memahami kontak sosial dengan jelas berdasarkan kepada fakta sejarah. Kontrak sosial harus difahami sekurang-kurangnya tentang hubung kaitnya kepada empat perkara utama iaitu - perlembagaan, kemerdekaan, hubungan kaum dan sistem pemerintahan negara. Tanpa kontrak sosial mungkin kita tidak dapat mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 kerana pihak British ketika itu menjadikan permuafakatan itu sebagai prasyarat. Kontrak sosial adalah anak kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Kontrak sosial juga asas kepada sistem pemerintahan yang menjadikan kita negara demokrasi berparlimen raja berperlembagaan dengan konsep negeri dan persekutuan.

Apakah Hubung Kait Kontrak Sosial Dengan Negara dan Bangsa Malaysia?
Perlembagaan Persekutuan diwujudkan hasil daripada kontrak sosial yang dilahirkan daripada permuafakatan pelbagai kaum di negara ini. Perlembagaan itulah juga yang mentakrifkan negara kita serta menentukan sifat bangsa dan negara Malaysia.Malaysia adalah Negara berbilang kaum yang wujud daripada konsep Malay polity atau sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 memberikan kewarganegaraan terbuka kepada bukan Melayu, sebahagiannya imigran dan diterima secara automatis sebagai warga Negara dan diberikan jus soli.Inilah antara sifat negara dan bangsa Malaysia yang harus difahami - berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan juga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi dan sistem pemerintahan beraja.

Sumber Maklumat:- Bahagian Pengurusan Maklumat Strategik, Kementerian Penerangan Malaysia

Demokrasi Berparlimen

Parlimen Malaysia melambangkan keutuhan demokrasi berparlimen

Sistem Demokrasi Berparlimen
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Perlembagaan negara telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat untuk pengalaman sistem ini. Salah satu syarat sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan, iaitu Perundangan, Kehakiman dan Pentadbiran atau Eksekutif.

Malaysia juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi berasaskan kepada sistem Persekutuan. Sehubungan dengan itu, ia bermakna negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak , Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah telah bersetuju dengan konsep penubuhan Negara Malaysia.

Setiap negeri yang terbabit telah menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing, seperti kewangan, pertahanan, pelajaran, luar negara dan lain-lain lagi seperti mana yang telah tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia yang di tadbir oleh Kerajaan Pusat. Ada perkara-perkara yang dijadikan kuasa negeri dan negeri akan mentadbirkan kuasa.

Sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, maka diperuntukan oleh Perlembagaan institusi Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu di sembilan buah negeri dan Majlis Raja-raja. Baginda adalah diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan Pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga menjadi Kepala Utama Negara dan Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara. Baginda akan menjalankan tugas-tugas dibawah Perlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah menteri . Raja-raja pula menjadi Ketua Negeri masing-masing dan menjalankan tugas mengikut nasihat Menteri-menteri Besar atau Ketua-ketua Menteri.

Parlimen Persekutuan mengandungi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan dua Dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Perkara 55, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sahaja yang boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Baginda juga mempunyai kuasa istimewa untuk memberhenti atau membubarkan Parlimen.

Dengan demikian Yang di-Pertuan Agong diperlukan oleh Perlembagaan untuk memanggil Parlimen bermesyuarat dalam masa enam bulan antara persidangan yang akhir dalam satu penggal yang kemudiannya.

Bagi Dewan Rakyat, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh-tarikh majlis akan bermesyuarat dalam penggal itu. Walau bagaimanapun , Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan itu dari masa ke semasa.

Parlimen Persekutuan merupakan badan perundangan yang tertinggi di Malaysia. Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu. Parlimen akan terus berjalan selama lima tahun, dari tarikh mesyuarat pertamanya selepas Pilihanraya Umum.

Pada penghujung tempoh lima tahun ini, Parlimen dengan sendirinya dibubarkan dan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran Parlimen, Pilihanraya Umum bagi memilih wakil-wakil untuk Dewan Rakyat hendaklah diadakan, dan Parlimen dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubarannya


Struktur Parlimen Malaysia
Parlimen Malaysia terdiri daripada tiga komponen:-
1. Yang Di-Pertuan Agong
2. Dewan Negara
3. Dewan Rakyat

Sumber: Parlimen Malaysia

Saturday, May 16, 2009

Guru Pendukung Aspirasi Membentuk Modal Insan Holistik

Pendidik bukan sekadar lahirkan pelajar cemerlang tetapi lebi utama membimbing generasi bersahsiah mulia

SAMBUTAN Hari Guru 2009 amat dinantikan oleh kira-kira 350,000 pendidik di seluruh negara berikutan perubahan dalam kepemimpinan Kementerian Pelajaran baru-baru ini. Apakah akan berlaku sebarang perubahan dalam sistem pendidikan negara apabila kepemimpinannya bertukar tangan. Ikuti wawancara wartawan Pendidikan, ZAINOR SAID, TAMRIN ANUAR dan NORLIZA ABDULLAH bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Guru yang disambut hari ini.

Apa relevannya tema Hari Guru tahun ini iaitu 'Guru Pembina Negara Bangsa' dengan peranan pendidik dalam membina perpaduan dan meningkatkan kecemerlangan?
Tema Hari Guru tahun ini mengingatkan kita peri pentingnya peranan guru dalam membentuk negara bangsa. Mereka bukan hanya berperanan mendidik, malah membentuk bangsa yang bersatu padu dan bangsa yang mampu memahami aspirasi negara seterusnya membawa Malaysia ke mercu lebih gemilang pada masa depan. Kita melihat pentingnya guru dalam membentuk generasi lebih seimbang. Dalam hal ini, kerajaan menekankan aspek kualiti untuk meningkatkan mutu pendidikan dan aspirasi lebih cemerlang dalam kerjaya mereka. Masa depan negara bergantung kepada keupayaan guru melahirkan generasi berkemahiran dan memenuhi cita rasa bangsa dan negara. Sempena Hari Guru tahun ini, kami pada peringkat kementerian memberi perhatian khusus kepada usaha meningkatkan kemahiran guru agar lebih kreatif dan inovatif di samping memiliki ilmu dan pengetahuan lebih luas. Guru juga bertanggungjawab membimbing anak kita untuk terus menjadi manusia sempurna, insan kamil yang sekali gus dapat mewarisi usaha membangunkan negara.

Adakah tema itu bertepatan dengan hasrat mewujudkan 1Malaysia seperti diharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak?
Semestinya ia selari dengan hasrat itu dengan rakyat didahulukan dan prestasi diutamakan. Matlamat itu mahu melihat Malaysia memegang satu wadah walaupun berada dalam masyarakat berbilang kaum. Kepelbagaian kaum dan keturunan di negara ini membentuk keistimewaan tersendiri selain bersatu padu dan mempunyai impian sama dalam memajukan negara. Menerusi sistem pendidikan negara, antara matlamat utama ialah membentuk rumpun bangsa. Kepelbagaian bangsa dan bahasa itu bukan satu kekangan, sebaliknya kekuatan dan tambah nilai dalam membentuk satu bangsa yang kuat. Pembentukan perpaduan serta toleransi bermula pada peringkat sekolah. Ia menjadi tanggungjawab semua pihak terutama guru dalam membentuk keseimbangan di kalangan pelajar yang datang daripada pelbagai kaum dan keturunan dalam proses membentuk perpaduan. Saya berharap perpaduan yang dipupuk di sekolah akan terus kukuh dan berkekalan sehingga menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat majmuk.

Apakah cabaran utama guru masa kini dalam melaksanakan tanggungjawab untuk melahirkan modal insan holistik?
Tidak dinafikan perkembangan semasa turut memberi kesan kepada proses pembentukan sahsiah terutama di kalangan anak muda. Namun, apa yang penting ialah perkembangan bidang pendidikan perlu diambil kira supaya seiring dengan apa yang berlaku di negara maju. Penekanan perlu diberikan kepada pembangunan secara menyeluruh (holistik). Dalam mencapai sasaran itu, kita harus melihat pelbagai aspek termasuk mengambil kira soal kebajikan guru, antaranya kekurangan guru. Kementerian sedang berusaha mengurangkan nisbah guru dan bilik darjah daripada 1:7 kepada 1:5. Selain itu, usaha meningkatkan pendidikan negara dengan memberi penekanan terhadap perkembangan aspek perisian iaitu meningkatkan kecemerlangan ilmu, inovasi dan kreativiti dalam proses pembelajaran dan pengajaran (P&P). Penambah-baikan akan dilaksanakan terhadap kurikulum dan kokurikulum di sekolah dalam melahirkan generasi seimbang dari segi perkembangan rohani dan jasmani. Mengupas isu meningkatkan infrastruktur pendidikan, ia tidak terhad kepada kemudahan luaran seperti membina lebih banyak sekolah tetapi kerajaan perlu melengkapkan guru dengan pelbagai kemahiran.

Dakwaan guru terpaksa melaksanakan tugas pengurusan dan pentadbiran memberi tekanan dan menjejas tumpuan mereka terhadap tanggungjawab hakiki sebagai pendidik. Apakah usaha kementerian untuk menanganinya?
Itu antara isu yang dikenal pasti kerana institusi pendidikan sendiri begitu kompleks. Guru bukan saja bertindak sebagai pendidik dan mengajar semata-mata malah pada masa sama, mereka juga bertugas sebagai pegawai disiplin, pegawai kebajikan dan penyelaras kokurikulum. Setiap kali kerajaan melaksanakan dasar baru, guru perlu melaksanakannya. Pelaksanaan itu termasuk menyediakan laporan dan proses penyediaan itu menambah tugas sedia ada. Kajian awal mengenai bebanan tugas guru menunjukkan pada 2005, lebih 16,000 guru dari 400 sekolah mendapati tugas dan tanggungjawab mereka meningkat berbanding 20 tahun lalu. Peningkatan itu adalah kesan penggubalan dasar, perubahan sistem dan bertambahnya jumlah mata pelajaran. Antara pendekatan yang dapat dilaksanakan kementerian dalam menangani masalah ini ialah mengambil lebih ramai guru dan kakitangan sokongan dalam memperkemaskan urusan sekolah.

Beberapa usaha dilaksanakan dengan mewujudkan jawatan kumpulan sokongan bagi membantu guru melaksanakan kerja pentadbiran, antaranya jawatan pembantu tadbir, pembantu makmal sains dan juruteknik di Pusat Kegiatan Guru. Selain itu juga, kementerian mewujudkan jawatan pembantu pengurus murid gred N17 di Kelas Pendidikan Khas dan murid prasekolah normal.

Sempena sambutan Hari Guru pertama sejak Tan Sri menerajui Kementerian Pelajaran, apakah insentif baru yang bakal diumumkan?
Setakat ini ia masih rahsia. Bagaimanapun ada beberapa perkara menarik bakal diumumkan sebagai usaha menyuntik semangat serta kesungguhan guru dalam mendidik anak bangsa, sekali gus meningkatkan martabat profesion keguruan agar terus disanjung. Ia juga mengambil kira pelbagai usaha lain, antaranya menyeimbangkan nisbah guru lelaki dan perempuan dalam kerjaya guru di negara ini. Setakat ini nisbah guru lelaki dan perempuan adalah sekitar 80:20 dan kita harus merapatkan jurang supaya tidak begitu ketara. Bagi menyeimbangkan peratusan itu, kementerian sedang mengenal pasti kaedah terbaik untuk menanganinya termasuk menyediakan insentif tambahan kepada golongan lelaki yang menyertai profesion ini. Langkah kerajaan bukan bertujuan memperkecilkan usaha wanita atas sumbangan mereka selama ini, namun perlu ada keseimbangan yang sesuai di antara guru lelaki dan perempuan.

Bagaimana Tan Sri melihat soal disiplin pelajar sekarang, apakah ia sudah sampai ke tahap membimbangkan?
Isu disiplin pelajar itu sendiri antara perkara besar yang harus ditangani segera. Setakat ini kita mempunyai hampir enam juta pelajar dan jika satu atau dua peratus daripada mereka terbabit dengan kegiatan tidak diingini pastinya ia memberi kesan kepada institusi pendidikan itu sendiri. Ia memerlukan perhatian serius. Dalam membentuk generasi ini, ia bukan tugas satu pihak semata-mata. Ibu bapa perlu bertindak pantas mengenal pasti kelemahan dan mengawasi anak masing-masing supaya pergerakan mereka dikawal. Begitu juga dengan peranan masyarakat yang harus memainkan peranan memastikan institusi masyarakat itu sempurna dan dilengkapi dengan pengisian rohani membentuk sahsiah. Usaha itu menuntut kepada kerjasama serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan semua pihak supaya setiap perlakuan sumbang dan salah laku anak-anak dapat ditegur dan diperbetulkan dari awal.

Apakah kementerian serius mahu melaksanakan kembali hukuman rotan terhadap pelajar?
Hal ini perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan tata cara betul mengikut prosedur. Jika diteliti, hal ini tidak sepatutnya menjadi isu besar, bagaimanapun pelaksanaan perlu berlandaskan kepada garis panduan khas. Ini perlu dibincangkan bagi mendapat persetujuan daripada banyak pihak antaranya persatuan ibu bapa dan guru (PIBG). Persetujuan itu penting kerana saya tidak mahu ada guru yang dihadapkan ke mahkamah gara-gara bertindak luar batas sedangkan pada awalnya niat mereka ikhlas untuk mengajar. Pendekatan mendisiplinkan pelajar kini lebih kepada kasih sayang dan berdiplomasi. Mungkin sesetengah ibu bapa tidak memberikan kasih sayang sewajarnya kepada anak masing-masing. Bagi menanganinya, semua pihak perlu melihat kepada falsafah pendidikan negara iaitu bukan hanya melahirkan pelajar yang cemerlang semata-mata kerana apa yang lebih penting ialah melahirkan generasi memiliki sahsiah mulia.

Apa komen Tan Sri terhadap dakwaan berleluasanya isu mat rempit mencerminkan sistem pendidikan kita gagal membentuk generasi berakhlak mulia?
Sebelum itu kita perlu lihat berapa ramai yang terbabit dengan gejala ini. Tidak dinafikan aktiviti negatif turut membabitkan masalah sosial lain seperti bohsia. Bagaimanapun ia perlu dilihat secara menyeluruh. Ia membabitkan pengawasan semua pihak termasuk faktor persekitaran yang menyebabkan berlaku kejadian sedemikian. Pendekatan menyeluruh diperlukan bagi menangani masalah ini kerana ia membabitkan banyak institusi iaitu keluarga, ibu bapa, pihak penguatkuasaan seperti polis serta pihak berkuasa tempatan selain anggota masyarakat seperti jiran dan pemimpin penduduk. Faktor persekitaran seperti kediaman tidak selesa dan sempit di bandar turut mendorong anak muda keluar selain kedangkalan minda mengenai kesan negatif tindakan mereka menyebabkan mereka mudah terpengaruh dalam gejala tidak sihat.

Bagaimana dengan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), adakah dasar ini akan diteruskan?
PPSMI masih dalam perbincangan. Sebelum sebarang keputusan dilaksanakan, ia akan diteliti dan diperhalusi kesannya kepada proses pembelajaran masa kini. Walaupun sudah tujuh perbincangan meja bulat dilaksanakan namun saya masih belum puas hati mengenai hasilnya. Walau apa pun keputusan yang bakal dibuat, sama ada diteruskan atau diganti dengan dasar lain, perkara yang lebih utama adalah mengenal pasti keupayaan kita mengenai penguasaan bahasa itu sendiri. Yang penting memperhalusi pelaksanaannya supaya tidak menjejaskan mana-mana pihak. Kepentingan anak bangsa harus diutamakan kerana masing-masing berdepan cabaran lebih besar bagi memenuhi pasaran kerja tempatan dan antarabangsa. Kementerian mengharapkan kajian menyeluruh dan berdasarkan fakta konkrit. Adakah ia benar-benar meningkatkan kefahaman murid dalam menguasai sesuatu mata pelajaran atau apakah penggunaan bahasa itu menyukarkan mereka menguasai mata pelajaran Sains dan Matematik seperti yang didakwa. Adakah kita mempunyai pilihan lain untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris tetapi pada masa sama, memudahkan murid memahami mata pelajaran Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa kebangsaan. Perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan sama ada mengekal atau meminda dasar sedia ada.

Setakat ini bagaimana perkembangan pengstrukturan semula dasar pendidikan negara daripada sistem berasaskan peperiksaan kepada penilaian berasaskan sekolah?
Sistem penilaian berasaskan sekolah akan dilaksanakan mulai tahun depan. Ia lebih kepada kaedah pendidikan seimbang dengan mengambil kira usaha membimbing secara menyeluruh. Kita tidak menyatakan kecemerlangan akademik itu tidak penting, sebaliknya apa yang ditekankan di sini ialah usaha melahirkan pelajar pintar, cerdik dan berkemahiran. Kami mengharapkan menerusi sistem ini, ibu bapa dan guru tidak hanya ghairah mengharapkan kecemerlangan akademik daripada pelajar, sebaliknya mereka perlu lebih rasional dalam menilai kecemerlangan setiap individu dalam pelbagai aspek. Mereka perlu cemerlang dalam akademik dan pada masa sama mempunyai kemahiran lain untuk meneruskan kelangsungan hidup yang membolehkan mereka membuat keputusan secara rasional berdasarkan kepada keadaan dan cabaran semasa.

Monday, May 4, 2009

Tiga lagi negara kena H1N1

Amaran Influenza Pandemik Tahap 5

KUALA LUMPUR: Tiga lagi negara - Korea Selatan, Perancis dan Costa Rica - disahkan mempunyai mangsa yang positif dengan wabak Influenza A (H1N1), menjadikan jumlah keseluruhan kes dilaporkan di seluruh dunia meningkat kepada 658 dengan 17 kematian. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dalam laporannya semalam memaklumkan, sehingga kini, 397 kes dengan 16 kematian dicatatkan di Mexico manakala 160 kes serta satu kematian dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat.
Negara yang sudah mengesahkan kes positif Influenza A (H1N1) tetapi tiada kematian ialah Kanada dengan 51 kes, Britain (15), Sepanyol (13), Jerman (enam), New Zealand (empat), Israel (tiga), Perancis (dua) serta masing-masing satu di Austria, Hong Kong, Costa Rica, Denmark, Belanda, Korea, serta Switzerland. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata WHO juga masih mengekalkan tahap amaran influenza pandemik tahap lima dan belum menyarankan sebarang sekatan perjalanan, perdagangan atau penutupan sempadan mana-mana negara. "Sehubungan itu, pelawat dari negara yang disahkan positif wabak itu akan disaring di pintu masuk antarabangsa dan diberi Kad Amaran Kesihatan serta Borang Pengisytiharan Kesihatan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.
Beliau berkata, setakat ini jumlah penumpang yang sudah disaring dan memerlukan pemeriksaan kesihatan lanjut di negara ini ialah 238 orang, tetapi semuanya didapati sihat dan tidak perlu dirujuk ke hospital. Sehubungan itu, katanya, orang awam yang mengalami simptom jangkitan terutama demam, batuk, selesema dan sakit tekak dinasihatkan menangguhkan lawatan ke luar negara, manakala yang pulang dengan gejala berkenaan diminta segera mendapatkan pemeriksaan. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata, kerajaan akan menerima bahan uji khusus dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Atlanta, Amerika Syarikat, yang hanya mengambil masa enam jam untuk mengenal pasti virus Influenza A (H1N1), tidak lama lagi. Kementerian itu sedang berusaha untuk mendapatkan bahan uji berkenaan secepat mungkin bagi membolehkan pengesahan virus H1N1 diperoleh secara terus daripada sampel tanpa memerlukan ujian lanjut yang mengambil masa panjang.
"Dengan bahan uji itu, kita hanya memerlukan enam jam untuk mengesahkan kes Influenza A (H1N1), sekali gus mengelak daripada mengeluarkan status kebarangkalian seperti sekarang," katanya selepas melawat Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di sini. Liow sudah mengarahkan supaya alat pengimbas suhu yang dipasang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di Sabah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang diaktifkan bagi memeriksa penumpang selepas Hong Kong disahkan dijangkiti wabak itu. Selain itu, katanya, kementerian juga akan berusaha meningkatkan stok vaksin kepada 10 peratus daripada jumlah penduduk, daripada 7.5 peratus atau kira-kira dua juta dos yang sedia ada bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Beliau berpuas hati kerana IMR bersiap sedia 24 jam untuk menerima sampel kes daripada mana-mana hospital dan menjalankan tugas dengan rapi serta bersungguh-sungguh untuk memastikan ujian dilakukan dengan cepat dan keputusannya boleh diketahui rakyat. Bagaimanapun, Liow meminta media massa supaya tidak terburu-buru atau sewenang-wenangnya melaporkan sesuatu kes di bawah pengawasan doktor atau hospital sebagai disyaki Influenza A (H1N1) kerana ia boleh mencetuskan suasana panik. "Justeru, kementerian menyelaraskan penggunaan hanya dua istilah khusus dengan merujuk kepada garis panduan WHO, iaitu kes disahkan dan kes kebarangkalian bagi yang disahkan Influenza A, tetapi sub jenis virusnya tidak diketahui atau gagal dikesan berdasarkan rekod. "Saya merayu kepada semua media, jangan silap lapor kerana saya sudah katakan bahawa sebarang kes berlaku di Malaysia, kementerian akan amat telus dan memastikan pengumuman kepada orang ramai dengan cepat tanpa menyorokkan apa-apa," katanya.

Friday, May 1, 2009

Selesema babi: Mexico salahkan WHO 'lembab' bertindak

BANDARAYA MEXICO: Ketua Epidemiologi Mexico hari ini menyalahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana lembab dalam mengeluarkan amaran mengenai selesema babi sehingga menjadi wabak dan menakutkan masyarakat dunia. Dr Miguel Angel Lezana, pengarah Pusat Epidemiologi Kebangsaan, turut menuntut supaya WHO menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara itu. Beliau berkata, pusat itu memberi amaran mengenai virus selesema itu dan kemungkinan wujudnya pneumonia asing dikesan di Mexico kepada Pertubuhan Kesihatan Pan American pada 16 April lalu tetapi mendakwa tiada tindakan susulan segera dibuat.
Beliau berkata, hanya lapan hari selepas itu WHO mengeluarkan amaran bahawa wabak itu dalam tahap 'berjaga-jaga' dan kemungkinan ia merebak sebagai satu pandemik. "Apa yang sepatutnya, ia (WHO) mengambil langkah lebih pantas," katanya di sini, hari ini. - AP
6 Langkah Cegah Penularan Virus Selesema Babi

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengambil enam langkah bagi mencegah penularan selesema babi, yang kini merebak ke banyak negara selain Mexico dan mengorbankan ramai rakyatnya. Langkah berkenaan adalah:

  • Mengaktifkan Pusat Kawalan Penyakit di JPV, Putrajaya dan semua pejabat JPV negeri.
  • Mengaktifkan Pasukan Pengurusan Amaran (Alert Management Team) bagi mengurus dan menyelaras kegiatan pengawalan seluruh negara.
  • Menggerakkan kegiatan pengawasan bagi mengesan dan memantau kewujudan penyakit selesema membabitkan ternakan babi di semua 797 ladang babi di seluruh negara.
  • Pemantauan babi di semua rumah sembelih.
  • Pemantauan bangkai dan organ babi di pasar basah.
  • Menggerakkan Pasukan Tindakan Pantas (RAT) di lokasi atau ladang berisiko tinggi.Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin dalam kenyataannya berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan klinikal kesihatan terhadap ternakan babi yang dijangkiti selesema dan mengambil sampel cecair dari hidung serta darah ternakan di semua ladang babi. Selain itu, katanya, JPV juga memberi khidmat nasihat kepada pemilik dan pekerja ladang ternakan itu mengenai langkah keselamatan perlu diambil. Antara langkah disaran ialah:
    - Pekerja memakai topeng menutup mulut dan mata
    - Memakai pakaian menutup seluruh badan dan memakai kasut boot.
    - Melaksanakan kerja cuci hama dua kali seminggu
    - Mewajibkan penternak melaporkan kepada pihak berkuasa veterinar jika ada tanda babi sakit seperti murung, berhingus, batuk atau demam.

RM10j peruntukan kekang wabak H1N1

Kementerian Kesihatan memperuntukkan lebih RM10 juta bagi meningkatkan persediaan negara mengekang penularan wabak selesema babi di negara ini berikutan amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak itu kini meningkat ke Tahap 5 iaitu ia mengancam seluruh dunia secara berterusan. Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, peruntukan itu antara lain akan digunakan untuk suntikan vaksin kepada 200,000 anggota yang bertugas di barisan hadapan terutama di pintu masuk negara.
"Peruntukan juga untuk suntikan vaksin pada ternakan babi dalam tempoh dua minggu. Jawatankuasa Persediaan Menghadapi Influenza akan membincangkan perkara ini, Isnin depan. "Apapun, sehingga kini, Malaysia masih bebas daripada jangkitan selesema babi dan kita akan memastikan virus itu tidak memasuki negara," katanya pada sidang media di Balai Berita, di sini, semalam. Turut hadir, Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun dan Timbalan Pengarang Kumpulan NST, Kamrul Idris Zulkifli,
Liow turut menafikan dua kes disyaki selesema babi di Hospital Sungai Buloh sebaliknya menegaskan dua kes itu hanya selesema biasa. "Mereka sudah pun keluar hospital. Mereka ada melawat Mexico dan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini. Mereka ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga kerana selesema," katanya. Beliau juga mengarahkan semua sembilan pusat simpanan stok antiviral di seluruh negara supaya bersiap sedia bagi memastikan proses penghantaran antiviral Tamiflu dan Relenza berjalan lancar jika diperlukan. "Kita menyasarkan 10 peratus stok antiviral ini di seluruh negara. Ia mencukupi untuk keperluan negara jika wabak ini melanda negara. Bagaimanapun, kita akan menambah antiviral ini dari semasa ke semasa mengikut keperluan," katanya.
Katanya lagi, kementerian sudah mengedarkan poster dan risalah penerangan mengenai selesema babi di seluruh negara bagi memberi penjelasan kepada masyarakat berhubung wabak itu dan langkah yang boleh diambil untuk mencegahnya. Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican dalam satu kenyataan berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), semalam, diiktiraf sebagai makmal rujukan bagi selesema babi.