Tuesday, April 10, 2012

Perincian 6 Bidang dalam NKRA - Bidang 1 : Mengurangkan Kadar Jenayah


  • Sesebuah negara yang menuju ambang kemajuan seperti Malaysia perlu berada dalam keadaan aman dan damai. Jauh dari segala bentuk ancaman dan jenayah. Walau bagaimanapun di mana-mana negara di dunia pencegahan jenayah secara total tidak mungkin dapat dicapai. Pastinya ada sahaja dari masa ke semasa kejadian-kejadian yang sukar untuk dielakkan daripada ianya berlaku.

  • Oleh yang demikian, kerajaan memandang serius isu pencegahan jenayah dan meletakkan keutamaan pengurangan kadar jenayah sebagai salah satu NKRA di bawah Kementerian Dalam Negeri.

  • Untuk itu, kerajaan telah mengenal pasti NKRA pengurangan jenayah dan di pecah bahagi kepada tiga bahagian iaitu:

i) Jenayah jalanan
Jenayah jalanan diberi penekanan kerana didapati ia mendatangkan trauma dan ketakutan berpanjangan kepada ahli keluarga juga anggota masyarakat. Hal yang dimaksudkan dengan jenayah jalanan termasuklah curi ragut, samun tanpa bersenjata dan samun berkawan tanpa bersenjata api. Statistik menunjukkan jenayah kategori ini bukanlah enteng-entengan kerana jenayah ini merupakan 17% daripada keseluruhan indeks jenayah 2008. Manakala kawasan "hot spots" ( kawasan panas kerana banyak berlaku jenayah ) kepada jenayah jenis ini telah dikenal pasti terutamanya di empat kawasan utama iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Didapati, negeri-negeri ini mencatat sebanyak 72% daripada jumlah keseluruhan jenayah jalanan pada tahun 2008. Oleh sebab itu kerajaan menetapkan sasaran pengurangan jenayah jalanan ini sebanyak 20% pada penghujung tahun 2010.

ii) Keselamatan awam
Penumpuan akan diberikan dalam hal penambahbaikan persepsi rakyat terhadap keselamatan awam. Pasukan-pasukan sukarela yang sedia ada terutamanya RELA akan dikemas kini dan diberi latihan secukupnya secara lebih teratur. Ini termasuklah penyeragaman uniform supaya mereka dapat dilibatkan bersama PDRM khususnya dalam usaha membanteras jenayah jalanan. Dalam usaha ini, balai-balai yang berkaitan akan dinaiktarafkan serta peralatan-peralatan yang diperlukan akan turut ditambah. Selain itu, langkah-langkah pengawalan dan pencegahan akan ditingkatkan lagi dengan menambah peralatan CCTV.

iii) Peningkatan Prestasi Agensi PenguatkuasaanUntuk menaikkan prestasi agensi penguatkuasaan pula, Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji cara-cara mempercepat proses perundangan terhadap kes-kes tertangguh misalnya dengan mewujudkan tribunal atau mahkamah khas bagi jenayah jalanan.

No comments:

Post a Comment